Tuesday, April 6, 2010

Akulah watak utamanya...

BAB 2

Tipah.
Tipah!!!!!!!
“Tiiiiipaaaaaaaaahhhhhh! Bangunlah, dah pukul 7, sembahyang subuh terlepas la kejap lagi,” jerit Syuhada dari dapur. Sungguh kuat suaranya. Aku sungguh tidak dapat membayangkan suaranya kalau betul-betul di hadapan muka. Pekak? Mungkin. Mati? Terlalu hyperbola.
“Aku cuti la,” ujarku perlahan. Membiarkan Syuhada seorang sahaja dengar. Tak perlu semua tahu.
“Yang tu memang la kau cuti, tapi pusat tuisyen kau tak cuti hari ni,” balas Syuhada sambil tangan ligat membancuh kopi. Nampak sedap.
“Ya Allah, aku terlupa, aku wanita berkerjaya, perlu bekerja,” hahaha.
Sememangnya, aku adalah satu-satunya ahli rumah sewa 2 tingkat 3 bilik ini yang paling lambat masuk dan habis kerja. Seorang pengusaha pusat tuisyen yang berjaya. Ah, aku suka ayat itu.
Jam menunjukkan 8.02 minit pagi. Dengan tudung putih, baju merah jambu polos, aku tenung lagi diri sendiri dalam cermin. Selalu kalau aku lama-lama tengok cermin Ibu selalu mengatakan ‘Tak makin cantik pun kau duduk berjam-jam depan cermin tu, Intan’. Ibu, Ibu. Rindunya Ibu. Sudah lama tidak berjumpa ibu. Apa khabar Ibu?


4 pasang mata memandang ke arahku. Masing-masing memberikan pandangan yang berbeza. Tidak perlu mengangkat muka melihat mereka, aku sudah dapat rasa auranya. Sedih, takut, cemas, mahu terkucil, semua ada. Tapi aku lebih rela berkeadaan seperti ini daripada ada kata-kata pedih yang mungkin akan dilontarkan.
“Intan, abah dah buat keputusan,” abah bersuara.
“Intan boleh pilih sama ada kahwin dengan Hisyam atau tidak menjejakkan kaki lagi di rumah ini,” sambung abah tegas.
Ibu sudah teresak. Angah Cuma mampu memberi pandangan kasihan. Adik merenung lantai yang sama dengan aku. Akhirnya aku mengangkat wajah, menatap mata abah. Memang dari dulu, semua yang keluar dari mulut abah adalah arahan. Abah tidak pernah sekali pun memberi muka pada anak-anak. Itu aku sangat arif. Aku berusaha menentang mata abah.
“Saya pilih yang kedua. Tak ada guna saya duduk dalam rumah ini tanpa izin yang sudi,” akhirnya aku membuka mulut. Masih menentang mata abah. Ibu sudah menerpa ke arah aku. Pelukan Ibu cuma menyebabkan aku akan menangis. Tidak, aku tidak akan menangis dihadapan insan bernama Haji Salleh.
“Intan jangan macam ni Intan. Fikir baik-baik. Fikir Ibu. Jangan macam ni nak…,” Ibu sudah mengongoi. Pelukan Ibu aku lepaskan. Bangun.
“Izinkan saya ambil barang-barang saya,” ucapan tanpa nada dari aku. Aku sendiri bingung. Betulkah keputusan yang aku buat. Janganlah ada penyesalan di hujung jalan.
Petang tadi Hisyam datang ke rumah bersama ibu bapanya. Tiada apa yang menghairankan sebab Hisyam adalah anak saudara abah. Tiada apa yang menarik tentang hisyam selain lelaki kaki perempuan, kaki botol, penganggur dan akan terus menganggur. Itu adalah calon suami pilihan abah untuk anak tirinya ini. Tidak rela aku. Kerana tidak rela itulah aku keluar dari rumah tersebut tanpa setitik air mata pun jatuh. Kalau ikutkan perasaan, sudah berbaldi air mata aku hamburkan. Sedih, perit, terasa terbuang hingga kini. Aku tidak dibenarkan berjumpa dengan warga rumah tersebut. Dan aku rindu Ibu.

Tok, tok, tok.
“Teacher, Teacher buat apa dalam kereta ni?” ada suara kecil menegurku.
“Oh, Tasya. Tak buat apa-apa. Teacher baru sampai,” balasku sambil berpura-pura menggengyeh mata. Habuk. Cis! Mengalir juga air mata di pagi Selasa ini. Bila masa aku sampai sini?
“Tasya masuk kelas dulu. Teacher masuk kejap lagi,” sambungku lagi. Harap-harap dia tak nampak aku menangis kerana habuk. Banyak pula di soal nanti. Penat pula nak menjawabnya.
Tasya berlari-lari memasuki pusat tuisyen. Di sinilah aku mencurahkan peluh, air liur, kasih sayang dan sebagainya; Pusat Tuisyen Skor.
Bangunan satu tingkat ini selalu dianggap Pusat Asuhan Kanak-Kanak oleh orang yang lalu lalang dan malas membaca papan tanda. Cantik apa papan tanda kami walaupun cuma bertulisan dengan font besar warna hitam tertulis nama pusat tuisyen ini dan beberapa nombor telefon dengan font lebih kecil untuk rujukan sesiapa yang berminat, tetapi masih ramai yang datang bertanya, “Ini nursery ke?”, “Taman asuhan kanak-kanak ke?” dan pelbagai lagi pertanyaan yang membuktikan rakyat Malaysia malas membaca. Pernah aku mencadangkan agar menukar papan tanda kepada yang lebih besar, tetapi kurang sokongan kerana membazir sahaja.
Aku memboloskan diri memasuki pejabat. Bagusnya pekerja pusat tuisyen ini, semua pekerja datang awal. Siapalah ketua mereka…..
“Lin, ada pelajar baru daftar hari ini?” pertanyaan biasa dari aku. Hampir setiap pagi sejak seminggu lepas. Mungkin minggu depan akan aku tukar dialog itu.
“Tak ada, Cik Intan. Tapi, semalam petang ada seorang lelaki datang untuk temu duga Cikgu matematik, tapi Cik Intan balik awal semalam, jadi saya suruh dia datang pagi ini, boleh Cik Intan?” balas Lin atau nama panjangnya Azlin. Baru sebulan masuk bekerja, sebab itu masih ber’cik-cik’ dengan aku. Menyebabkan aku terasa sedikit tua, tapi tak mengapa, baru beliau tahu siapa bos disini. Haha.
“Ok, nanti kalau dia dah sampai, panggil saya dekat kelas ya,” balasku sambil berlalu ke kelas selepas singgah meletak beg dalam bilik ‘bos’.


Pusat Tuisyen Skor mengamalkan teknik pengajaran 1 cikgu 1 pelajar. Pada satu-satu masa, seorang cikgu akan mengajar seorang pelajar. Konsep ini aku rasa sangat bagus kerana setiap pelajar memerlukan perhatian yang secukupnya dari pengajar. Dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Pelajar yang akan menjadualkan sendiri pada waktu apa yang mereka rasa sesuai untuk menghadiri sesi pengajaran. Pada sebelah malam, dari jam 8 malam hingga 10 malam, pengajaran secara kelas, atau pengajaran yang biasa dijalankan di sekolah-sekolah.
Yuran adalah sangat penting. Sebagai bayaran kepada penggerak pusat tuisyen ini selain dari menyediakan keperluan pelajar seperti kerja rumah, alat tulis mahupun maintenance. Bagi pelajar yang mengambil kelas persendirian sahaja adalah bayaran sejumlah 100 ringgit sebulan dan jika kelas malam sahaja 50 ringgit sebulan bagi satu-satu subjek. Tetapi bagi yang mengambil ‘set combo’, yuran adalah 140 ringgit. Setakat ini pelajar yang menggunakan khidmat kami sebagai tenaga pengajar tambahan adalah seramai 400 orang. Dengan menawarkan 3 subjek, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan setiap subjek 4 orang guru.
Setiap kali terpandang pelajar dalam kelas, ingatanku pasti akan terimbaukan arwah ayah; Syed Bakri. Walaupun ayah ahli perniagaan, cita-cita sebenarnya adalah ingin menjadi seorang guru. Ketika ayah meningalkan aku dengan ibu kerana pertempuran jantung yang hebat (atau sakit jantung), ayah telah mewasiatkan hartanya kepada kami berdua memandangkan ayah anak tungal dan yatim piatu. Dengan duit itulah aku membina impian ayah untuk mendidik. Semoga rohmu bahagia disana ayah.


“Tipah, kau tak bosan ke jadi cikgu. Mengadap muka yang sama, mengajar benda yang sama, kalau aku serius bosan,” ujar Eja ketika kami makan tengah hari itu. Stereotipikal sungguh Eja terhadap bidang perguruan yang aku ceburi. Memang meminta sudu di tangan masuk ke hidung.
“Tak, sebab aku mengajar kadang-kadang je,” menikmati saat-saat menjadi seorang bos. Hmm…
“Seronoknya, kau tak nak ambil aku jadi kerani tempat kau ke?” soal Eja.
“Melainkan sudah sebulan kekosongan itu diisi, sudah pasti aku ambil kau kerja,” balasku sambil menghirup kuah mee kari. Itulah, dulu orang offer, malaslah, malulah, tak seronoklah, dan pelbagai ‘lah’ lain yang diberikan, sekarang…..
“Tipah!”
“Eh kari tumpah meleleh!” latahku. Nasib baik Allah masih memanjangkan nyawa hamba-Nya ini. “Kenapa?”
“Aku ada idea. Aku kahwin dengan Dato’, terus boleh buka spa ke, butik ke…” ujarnya kembali.
“Adakah aku sedang makan semeja dengan orang kurang siuman? Atau badan kawan aku Eja sudah dimasuki makhluk asing?” balasku dengan sengaja membeliakkan mata. Dan aku ketawa dengan seronoknya apabila Eja memuncung sambil memberi ‘jelingan manja’.
“Weh, kau ingat tak mamat semalam?” cuba mengubah topik. Salah satu cara yang paling selalu digunakan Eja ketika dirinya sedang diketawakan. Tetapi aku selalu juga tertipu dengan helahnya walaupun sudah berwaspada.
“Nope, and don’t want to,” kenapa cerita mamat kemeja putih itu yang dibangkitkan. Mangkuk Mee kari yang hampir licin aku tolak ke tepi. Hilang selera makan. Nasib baik biasa sahaja rasanya.
“Ok, ok. Kalau, ni cerita ‘kalau’ ya, kalau kau terserempak dengan dia, apa kau nak cakap?” soalan pelik dari Eja. Makhluk asing sungguh anak dara bernama Eja ini.
“Mestikah aku bercakap dengan dia? No motif. Aku akan membodohkan diri yang pandai ni, the end,” balasku tegas.
“Jangan cakap Tipah, makan diri sendiri nanti,” balas Eja.
“Banyak lagi ayam kat Malaysia ni, tak perlu aku makan diri sendiri,” tersengih melihat sekali lagi Eja mencebik. Berjaya.

No comments:

Post a Comment